Pedagogi Inovatif: Sinergi AI dan Komunikasi Untuk Pengajaran Abad ke-21
Abstract
Kajian ini menyelidiki keberkesanan sinergi antara kecerdasan buatan (AI) dan komunikasi dalam meningkatkan pedagogi abad ke-21 melalui metodologi transformatif yang menggabungkan kaedah kuantitatif, kualitatif, dan analitik prediktif. Melibatkan 200 responden terdiri daripada pensyarah universiti awam dan guru sekolah menengah di Malaysia, kajian ini menggunakan pendekatan stratifikasi untuk memastikan kesimbangan berdasarkan latar belakang pendidikan, pengalaman mengajar, dan tahap literasi digital. Data dikumpulkan melalui tiga lapisan utama: (1) soal selidik berstruktur untuk menilai kesan penggunaan AI terhadap komunikasi dan keberkesanan pedagogi; (2) analisis big data menggunakan simulasi algoritma pembelajaran mesin untuk meramal pola interaksi pelajar-guru; dan (3) sesi temu bual mendalam berdasarkan pendekatan naratif digital untuk meneroka cabaran dan peluang dalam mengintegrasikan AI. Analisis data dilakukan dengan menggabungkan analitik deskriptif, regresi pelbagai, dan pemetaan visual menggunakan analisis sentimen berasaskan AI. Hasil kajian menunjukkan bahawa penggunaan AI memberi sumbangan yang signifikan dalam meningkatkan keberkesanan pedagogi sebanyak 78% (R² = 0.78, p < 0.01), serta memperbaiki keupayaan komunikasi guru. Simulasi algoritma menunjukkan peningkatan komunikasi melalui penggunaan kandungan adaptif dan strategi pembelajaran yang dipersonalisasi. Temu bual mendalam mendapati bahawa pendidik melihat AI sebagai pemangkin utama inovasi pedagogi, namun cabaran literasi digital harus diatasi. Kajian ini mengesahkan potensi AI dalam merevolusikan pendidikan dengan meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar dan mendukung pendidik. Hasil kajian memberi implikasi besar bagi pembuat dasar dan pendidik untuk merancang kurikulum berasaskan teknologi yang dapat memenuhi keperluan pendidikan abad ke-21.