BUDAYA PERAYAAN HAUL KE-546 SUNAN AMPEL DAN KESANNYA TERHADAP SOSIO-BUDAYA KOMUNITI ISLAM SURABAYA
Keywords:
Haul, Sunan Ampel, Sosiobudaya, Surabaya, IslamAbstract
Peringatan kematian Sunan Ampel, atau lebih dikenali sebagai "Haul Sunan Ampel," merupakan satu perayaan penting bagi penduduk Surabaya dan sekitarnya. Acara ini biasanya diadakan setiap tahun pada bulan Syawal dan menarik ribuan orang untuk datang dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti, seperti solat berjemaah, membaca doa, pameran, dan persembahan seni. Selain menjadi peristiwa beragama, Haul Sunan Ampel juga memberi impak besar kepada sosio-budaya masyarakat Surabaya. Artikel ini membincangkan festival Haul Sunan Ampel dan kesan terhadap sosio-budaya Surabaya. Pengarang menggunakan pendekatan deskriptif-analitikal dalam menganalisis data dan maklumat yang diperoleh daripada sumber yang berkaitan. Penulisan ini memfokuskan kajian literatur terhadap literatur sedia ada daripada jurnal-jurnal elektronik dan buku. Kajian lapangan yang berasaskan metode temubual juga dilaksanakan terhadap 3 informan. Selain itu, pemerhatian juga dilaksanakan sepanjang tempoh perayaan tersebut. Data kualitatif yang dikumpulkan akan dianalisis kandungannya secara tematik bagi merumuskan hasil kajian. Hasil analisis menunjukkan bahawa Perayaan Haul Sunan Ampel telah memberikan sumbangan besar kepada masyarakat Surabaya, terutamanya dalam mempertingkatkan aktiviti ibadah masyarakat setempat, memperkukuh budaya tempatan, memupuk semangat perpaduan dan meningkatkan integriti dalam kalangan komuniti beragama Islam. Selain itu, penganjuran perayaan Haul Sunan Ampel merangsang aktiviti pelancongan dan merangsang ekonomi tempatan. Walau bagaimanapun, perayaan Haul Sunan Ampel juga menyebabkan beberapa masalah seperti kesesakan lalu lintas, peningkatan jenayah, pencemaran, dan kerosakan alam sekitar. Oleh itu, perlu ada usaha kerjasama dari pelbagai pihak untuk mengurangkan kesan negatif ini dan memaksimumkan manfaat positif perayaan Haul Sunan Ampel bagi penduduk Surabaya.