KEDERMAWANAN ISLAM UNTUK KESEJAHTERAAN HIDUP GOLONGAN AUTISTIK
Keywords:
Autisme, Kedermawanan Islam, Kesejahteraan, Waqaf, ZakatAbstract
Kedermawanan Islam semakin diterima oleh masyarakat dan berkembang pesat di Malaysia serta ianya diyakini memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan sektor pendidikan, sosial dan ekonomi negara. Hal demikian dapat dilaksanakan melalui pengurusan dan pentadbiran dana Islam secara sistematik untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan sokongan. Sadaqah, zakat, dan waqaf memberi impak yang besar dan banyak manfaat kepada ummah, dan pembangunan ekonomi yang mampan. Justeru itu, kertas kerja ini bertujuan untuk mengupas peranan kedermawanan Islam dalam meningkatkan kesejahteraan golongan yang menghidap autisme atau autistik. Golongan autistik ini merupakan golongan rentan yang memerlukan sokongan sepanjang hayat mereka. Oleh itu, amalan kedermawanan Islam akan membantu menangani peningkatan kos sara hidup yang perlu ditanggung oleh ibu bapa/penjaga atau waris, dan kos sepanjang hidup untuk kelangsungan diri, keluarga dan masyarakat. Kertas kerja ini melibatkan sumber data sekunder dan primer iaitu kajian teks dan juga kajian lapangan ke atas responden-responden tertentu seperti ibu bapa/penjaga anak autistik, pihak yang berkaitan dengan perundangan, pihak yang menguruskan harta waqaf (Mutawalli) dan zakat (MAIN), dan pihak yang menyediakan kemudahan terapi serta Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) oleh Jabatan Kebajikan dan Masyarakat (JKM). Kajian ini dijangka dapat memberi dan mengukuhkan pemahaman berkenaan kepentingan kedermawanan Islam dalam meningkatkan kesejahteraan hidup golongan autistik secara komprehensif. Ianya juga membantu memberikan kesan yang positif kepada pembangunan pendidikan, sosial, dan ekonomi negara.