KESEDARAN PENGGUNA DI MALAYSIA TERHADAP PRODUK BERASASKAN LOGO HALAL
Keywords:
Halal, logo halal, JAKIMAbstract
Logo halal merupakan salah satu komponen yang penting dalam urusan jual beli dalam kalangan Muslim kerana ia menjadi penunjuk bahawa produk yang dikeluarkan telah memenuhi syarat-syarat dan syariat yang telah ditetapkan oleh agama Islam. Usul untuk permohonan dan penggunaan logo halal ini adalah sangat bernas, kerana ia menunjukkan bahawa pembeli yang beragama Islam semakin mementingkan status halal sesuatu produk bagi mengelakkan mereka daripada membeli produk yang tidak halal secara tidak sengaja. Namun begitu, masih ada sesetengah daripada masyarakat yang masih tidak cakna tentang kepentingan logo halal ini dan sedikit sebanyak boleh mempengaruhi kehidupan mereka. Mereka juga menganggap bahawa status halal hanya tertakluk kepada makanan sahaja, walhal ia juga merangkumi produk lain seperti produk kosmetik, produk penjagaan muka dan ubat-ubatan. Justeru, kajian ini dijalankan untuk mengkaji tahap kesedaran pengguna di Malaysia terhadap produk berasaskan logo halal, dan seberapa banyak mereka bergantung kepada logo halal dalam urusan jual beli. Kajian ini dijalankan berdasarkan tinjauan dan juga rujukan daripada jurnal terdahulu, laporan, artikel, petikan berita dan sebagainya. Tinjauan ini dilakukan secara umum tanpa menyasarkan mana-mana kumpulan pengguna yang khusus di Malaysia.