JUDI DALAM TALIAN: CABARAN MENANGANI AKTIVITI PERJUDIAN DI ERA DIGITAL MENGIKUT UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA

Authors

  • Nur Fatin Rosli Universiti Teknologi MARA, Bandaraya Melaka Campus
  • Nur Syazwannie Humaira Samseri Universiti Teknologi MARA, Bandaraya Melaka Campus
  • Marisa Mazanan Universiti Teknologi MARA, Bandaraya Melaka Campus,
  • Bahirah Kamarudin Universiti Teknologi MARA, Bandaraya Melaka Campus
  • Syahrina Hayati Md Jani Universiti Teknologi MARA, Alor Gajah Campus

Keywords:

Pemantauan Perjudian, Penguatkuasaan Teknologi, Perjudian Dalam Talian, Undang-undang di Malaysia, Akta Perjudian

Abstract

Perjudian dalam talian merujuk kepada aktiviti pertaruhan atau permainan yang melibatkan wang atau nilai lain yang dilakukan melalui platform digital seperti laman web, aplikasi mudah alih, dan saluran dalam talian lain. Antara bentuk perjudian dalam talian yang popular adalah permainan kasino, pertaruhan sukan, poker dalam talian, dan loteri maya. Transaksi dalam perjudian ini dilakukan secara elektronik, menjadikannya lebih sukar dikesan dan dikawal berbanding perjudian tradisional yang bersifat fizikal. Sifat maya dan global aktiviti ini melampaui sempadan geografi, menjadikan penguatkuasaan undang-undang lebih rumit kerana ia melibatkan pelbagai pihak dan bidang kuasa antarabangsa. Di Malaysia, perjudian dalam talian mewujudkan cabaran besar kepada pihak berkuasa dalam menguatkuasakan undang-undang di era digital. Antara cabaran utama adalah kesukaran dalam menjejaki aktiviti dan transaksi digital yang sering menggunakan teknologi canggih dan bersifat tanpa sempadan. Selain itu, isu berkaitan penyitaan dan penyimpanan bukti digital turut menjadi masalah kerana bukti tersebut mudah diubah atau dipadam, memerlukan kepakaran dan teknologi khas untuk mengesahkannya. Bidang kuasa negeri yang berbeza-beza di Malaysia turut menambah kesukaran dalam menyelaraskan tindakan penguatkuasaan, di samping limitasi dalam undang-undang perjudian sedia ada yang mungkin tidak lagi relevan dalam menangani bentuk perjudian moden ini. Kekurangan teknologi, kepakaran digital, dan koordinasi antara agensi penguatkuasaan di peringkat negeri dan Persekutuan menjadi faktor utama yang menghalang keberkesanan tindakan undang-undang. Oleh itu, kajian ini menyoroti keperluan mendesak untuk mereformasi undang-undang sedia ada agar lebih selaras dengan perkembangan teknologi digital dan cabaran semasa. Selain itu, kolaborasi antara agensi penguatkuasaan, institusi kewangan, dan penyedia perkhidmatan digital adalah penting bagi memperkukuhkan pemantauan dan pengawalan aktiviti perjudian dalam talian. Pendekatan yang menyeluruh dan strategi yang bersepadu diperlukan bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang yang lebih berkesan serta melindungi masyarakat daripada risiko dan implikasi negatif perjudian dalam talian.

Downloads

Published

2025-03-19