PENDIDIKAN NILAI IHSAN DALAM KURIKULUM PENDIDIKAN ISLAM: MENANGANI KRISIS SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA PASCA-PANDEMIK
DOI:
https://doi.org/10.24191/ejitu.v8i1.7165Keywords:
Ihsan, Pendidikan Islam, Remaja, Krisis Sosial, Pasca-PandemikAbstract
Krisis sosial dalam kalangan remaja pasca-pandemik COVID-19 semakin meruncing dan memberi cabaran besar terhadap institusi pendidikan, khususnya dalam usaha membentuk generasi berakhlak dan berperibadi mulia. Gejala seperti buli siber, ketagihan gajet, kelunturan adab, serta gangguan emosi semakin ketara dalam kalangan pelajar sekolah menengah. Fenomena ini berpunca daripada perubahan corak pembelajaran semasa pandemik, kekangan interaksi sosial yang sihat, dan ketidakstabilan persekitaran keluarga. Justeru, Pendidikan Islam berperanan penting sebagai mekanisme utama dalam pembinaan sahsiah pelajar melalui penghayatan nilai-nilai murni, khususnya prinsip ihsan, yang merupakan salah satu teras dalam gagasan Malaysia MADANI. Prinsip ihsan menekankan ketulusan hubungan dengan Allah dan manusia serta dorongan dalaman untuk melakukan kebaikan secara konsisten. Dalam konteks kurikulum Pendidikan Islam, nilai ini boleh diaplikasikan secara berkesan melalui pendekatan pembelajaran berasaskan nilai (value-based education) dan pendekatan pedagogi kontekstual. Contohnya, modul pengajaran berasaskan projek komuniti berasaskan ihsan, aktiviti reflektif kendiri melalui jurnal amalan harian, dan simulasi situasi sosial dapat membantu pelajar menghayati ihsan secara amali dalam kehidupan harian mereka. Pendekatan ini bukan sahaja menyampaikan kandungan, malah membentuk kepekaan emosi, empati, tanggungjawab sosial, dan jati diri pelajar secara holistik. Kajian ini bertujuan meneliti sejauh mana kurikulum Pendidikan Islam mampu memperkukuh nilai ihsan sebagai strategi menangani krisis sosial remaja pasca-pandemik. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis kandungan dokumen kurikulum serta temu bual separa berstruktur bersama guru Pendidikan Islam di beberapa buah sekolah menengah. Dapatan awal menunjukkan bahawa meskipun nilai ihsan telah diserap dalam kurikulum, penghayatannya masih bersifat teoritikal dan kurang penyesuaian kepada isu semasa remaja. Oleh itu, kertas kerja ini mencadangkan penstrukturan semula strategi pedagogi nilai, termasuk penggunaan modul berasaskan isu kontemporari, latihan pengajaran berfokus ihsan kepada guru, serta penilaian formatif berasaskan amalan ihsan, agar Pendidikan Islam menjadi lebih responsif dan berkesan. Kajian ini diharap dapat menyumbang kepada pemantapan kurikulum Pendidikan Islam yang lestari dan menyeluruh ke arah pembinaan generasi MADANI.
Downloads
Published
Issue
Section
License

This work is licensed under a Creative Commons Attribution-ShareAlike 4.0 International License.








