PENGLIBATAN MASYARAKAT TERENGGANU DALAM AR-RAHNU: SATU TINJAUAN SOSIOEKONOMI

Authors

  • Salimah Yahaya Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Cawangan Terengganu
  • Tengku Atikah Engku Fauzi Fakulti Sains Sosial Gunaan, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu

DOI:

https://doi.org/10.24191/ejitu.v8i2.9057

Keywords:

Ar-Rahnu, Pajak Gadai Islam, Penglibatan Masyarakat Terengganu, Sosioekonomi, Mikro Kredit

Abstract

Ar-Rahnu merupakan sistem pajak gadaian berteraskan prinsip Syariah yang berfungsi sebagai satu alternatif pembiayaan mikro Islam. Perkembangan institusi-institusi Ar-Rahnu di Malaysia kini menunjukkan peranan pentingnya sebagai salah satu entiti kewangan yang menawarkan kemudahan pembiayaan berasaskan cagaran, sekaligus menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat setempat. Sehubungan itu, artikel ini bertujuan untuk meneliti tahap penglibatan masyarakat di Negeri Terengganu dalam penggunaan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi Ar-Rahnu pada masa kini. Kajian ini menjalankan satu tinjauan reflektif terhadap aspek sosioekonomi dan kewangan masyarakat Islam, dengan fokus khusus kepada usahawan mikro kredit wanita Muslim di negeri Terengganu. Pendekatan kualitatif digunakan melalui sorotan literatur terhadap kajian-kajian lepas yang berkaitan. Kaedah pengumpulan data melibatkan dokumentasi dan analisis kepustakaan sebagai sumber utama. Daripada hasil sorotan tersebut, satu kerangka konseptual telah dibentuk bagi menggambarkan hubungan antara penglibatan masyarakat dengan impak sosioekonomi yang terhasil. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap penglibatan usahawan wanita di Terengganu berada pada paras sederhana tinggi, didorong oleh beberapa faktor sokongan seperti kemudahan akses kepada perkhidmatan Ar-Rahnu, kadar caj perkhidmatan yang rendah, serta pematuhan kepada prinsip Syariah. Implikasi terhadap aspek sosioekonomi dan kewangan Islam dalam kalangan masyarakat yang terlibat dengan perkhidmatan Ar-Rahnu menunjukkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan dan wajar dibanggakan. Antara kesan positif yang dikenal pasti termasuk peningkatan peluang pekerjaan dalam kalangan usahawan wanita, penambahan sumber pendapatan keluarga, peningkatan taraf hidup, sumbangan kepada pembangunan ekonomi setempat, serta penggalakan terhadap kepelbagaian aktiviti ekonomi perusahaan kecil dan sederhana (IKS). Sehubungan itu, kajian ini mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan memperkukuh usaha promosi serta pelaksanaan program pendidikan kewangan Islam dalam kalangan masyarakat. Pada masa yang sama, langkah-langkah perlu diambil untuk mengurangkan kekangan seperti kekurangan pengetahuan yang mendalam mengenai konsep sebenar Ar-Rahnu dan isu berkaitan dokumentasi, agar tahap penglibatan masyarakat dapat ditingkatkan secara lebih menyeluruh dan meluas.

Downloads

Published

2025-10-01