Pengurusan Khilaf Fiqhi di Media Sosial: Aplikasi Teori I’tibar al-Ma’al
DOI:
https://doi.org/10.24191/e-joms.v9i1.8688Abstract
Perbezaan pandangan dalam fiqh atau khilaf fiqhi merupakan realiti keilmuan Islam yang diiktiraf sejak zaman awal, namun dalam konteks kontemporari, perbahasan khilaf sering diperluas melalui media sosial sehingga mencetuskan kekeliruan, polarisasi dan ketegangan dalam masyarakat. Latar ini menuntut kepada satu kerangka pengurusan khilaf yang lebih sistematik dan berstrategi. Objektif kajian ini adalah untuk menilai aplikasi teori I’tibar al-Ma’al sebagai asas kepada parameter pengurusan khilaf fiqhi dalam media sosial di Malaysia. Dari segi metodologi, kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan analisis dokumen terhadap teks klasik, fatwa kontemporari, garis panduan institusi agama serta wacana media sosial berkaitan isu khilaf. Dapatan kajian menunjukkan bahawa khilaf fiqhi yang mendapat perhatian umum di media sosial merangkumi isu ibadat, muamalat, munakahat, dan jenayah. Teori I’tibar al-Ma’al menawarkan asas penting dalam menilai implikasi sosial, politik dan psikologi sesuatu hukum sebelum disebarkan kepada khalayak media. Kajian ini mencadangkan beberapa parameter pengurusan khilaf fiqhi di media sosial, antaranya: keutamaan maslahat dan penolakan mafsadah, penyelarasan keputusan fatwa antara autoriti agama, serta kawalan naratif media agar tidak bersifat sensasi. Kajian lanjutan disaran memberi tumpuan kepada pembinaan modul praktikal bagi pendakwah dan penggiat media dalam mengurus khilaf fiqhi secara beretika dan berkesan di ruang digital.
Downloads
Published
Issue
Section
License
Copyright (c) 2026 KHAIRUL AZHAR MEERANGANI, Nor Mohd Faisal Md Ariffin, Dziauddin Sharif , Khazri Osman

This work is licensed under a Creative Commons Attribution-ShareAlike 4.0 International License.





