ADAPTASI ELEMEN FILANTROPI DALAM KERANGKA KERJA HOSPITAL PATUH SYARIAH: KAJIAN DI HOSPITAL PAKAR AN-NUR, BANGI
Keywords:
Filantropi, Kebajikan, Sedekah, Patuh syariah, WakafAbstract
Perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh hospital patuh syariah untuk memastikan pencapaian maqasid syariah (objektif di sebalik pensyariatan hukum). Selaras dengan objektif pensyariatan, elemen kebajikan melalui aktiviti filantropi mula mendapat perhatian dari kalangan sarjana Islam terutama apabila hospital patuh syariah sudah mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Namun, perkhidmatan hospital patuh syariah yang kebanyakannya adalah berasaskan swasta telah menghadkan penyediaan perkhidmatan kepada golongan tertentu sahaja. Tambahan pula, sorotan awal terhadap kerangka kerja pelaksanaan hospital patuh syariah Hospital Pakar An-Nur mendapati elemen kebajikan dan aktiviti filantropi tidak digariskan secara jelas. Justeru, kajian ini akan menganalisis kerangka kerja pengoperasian Hospital Pakar An-Nur dengan tujuan mengenalpasti elemen-elemen kebajikan dalam perkhidmatannya. Kajian ini merupakan kajian kualitatif berdasarkan kepada kajian kepustakaan dan temubual mendalam semi berstruktur bersama pemegang taruh yang berkaitan. Hasil kajian ini telah mencadangkan pengwujudan elemen kebajikan melalui aktiviti-aktiviti filantropi dalam kerangka kerja pelaksanaan hospital patuh syariah. Dapatan kajian turut mencadangkan beberapa penambahbaikan kepada pemerkasaan elemen kebajikan dalam pelaksanaan hospital patuh syariah yang selaras dengan matlamat pelaksanaannya.