PENERIMAAN PENJAWAT AWAM TERHADAP PRODUK TAKAFUL: KAJIAN DI DAERAH PETALING, SELANGOR

Authors

  • Khairul Azhar Meerangani Academy of Contemporary Islamic Studies, Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka
  • Shafiqah Mad Zin Centre for Islamic Development Management Studies (ISDEV), Universiti Sains Malaysia

Keywords:

Takaful, Penjawat Awam, Penerimaan, Kefahaman, Kebajikan

Abstract

Takaful merupakan produk berasaskan kebajikan yang menawarkan jaminan perlindungan sosial sesama masyarakat. Ia juga menjadi alternatif kepada penawaran produk insurans konvensional sedia ada dengan pematuhan kepada prinsip-prinsip kewangan Islam sebagaimana yang digariskan syarak. Setiap ahli menzahirkan komitmen menerusi sumbangan tetap bagi membantu mereka yang ditimpa bencana dan kesusahan. Namun begitu, masih ramai dalam kalangan masyarakat yang masih keliru serta memandang ringan kepentingan produk takaful ini. Justeru, kajian ini bertujuan menganalisis tahap penerimaan penjawat awam di daerah Petaling, Selangor terhadap produk berasaskan takaful. Kajian dijalankan secara kuantitatif menerusi reka bentuk tinjauan. Set soal selidik telah diedarkan kepada 40 orang penjawat awam yang berkhidmat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling. Dapatan seterusnya dianalisis menggunakan perisian SPSS 22.0 bagi merumuskan persoalan kajian yang ditetapkan. Hasil kajian menunjukkan bahawa meskipun penjawat awam mempunyai asas pengetahuan yang baik berkaitan produk takaful, namun tahap penerimaan mereka terhadap produk ini masih di tahap sederhana dengan bacaan min (m=3.575). Beberapa faktor yang menyumbang kepada dapatan ini telah dikenal pasti, iaitu tahap komitmen keluarga, tahap kesedaran yang masih rendah serta pengurusan kewangan yang tidak sistematik. Justeru, pengendali takaful perlu memainkan peranan penting dalam menerapkan kefahaman serta menawarkan produk yang bersesuaian dalam menarik minat masyarakat awam.

Downloads

Published

2022-09-01