KONTROVERSI PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH DALAM KALANGAN BUKAN MUSLIM DI MALAYSIA: SATU KAJIAN PERUNDANGAN DAN SOSIAL

Authors

  • Mohd Munir Sabtu Mitrans UiTM Malaysia
  • Mohd Izzazuddin Rahmat Mitrans UiTM Malaysia
  • Mohd Halid Alwani Buang Mitrans UiTM Malaysia
  • Mohd Yussof Mohd Zuki Mitrans UiTM Malaysia
  • Mohd Faizal P. Rameli Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Melaka
  • Izzah Nur Aida Zur Raffar Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Melaka

Keywords:

Kalimah Allah, Muslim, Bukan Muslim, Kebebasan agama, Perundangan

Abstract

Kajian ini bertajuk Kontroversi Penggunaan Kalimah Allah dalam Kalangan Bukan Muslim di Malaysia: Satu Kajian Perundangan dan Sosial, yang membincangkan isu penggunaan kalimah "Allah" oleh bukan Muslim di Malaysia dari sudut perundangan dan sosial. Isu ini mencetuskan perdebatan hebat melibatkan hak kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan Persekutuan dengan keperluan menjaga sensitiviti umat Islam. Dari perspektif perundangan, larangan penggunaan kalimah "Allah" bagi bukan Muslim dalam konteks agama Kristian telah disokong oleh undang-undang syariah di beberapa negeri serta keputusan mahkamah. Namun, keputusan ini bertentangan dengan tuntutan hak kebebasan beragama dalam kalangan komuniti bukan Muslim yang melihat kalimah tersebut sebagai sebahagian daripada amalan keagamaan mereka. Sentimen komuniti Muslim pula menekankan bahawa kalimah "Allah" eksklusif bagi Islam, manakala komuniti bukan Muslim pula menganggap larangan ini sebagai pencabulan hak asasi. Media arus perdana dan alternatif juga memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi masyarakat mengenai isu ini, dengan memberi tumpuan kepada pelbagai perspektif yang mencorakkan pandangan awam. Kajian ini dilakukan bertujuan mengkaji sejarah dan konteks penggunaan kalimah Allah, dari aspek perundangan di Malaysia serta dimensi sosial dan reaksi masyarakat. Dapatan kajian ini mencadangkan beberapa langkah seperti pendidikan toleransi agama di sekolah, pengukuhan dasar kerajaan, dan inisiatif dialog antara agama untuk menangani isu ini secara harmoni. Kesimpulannya, kajian ini menyeru pendekatan yang lebih inklusif dan toleran dalam menangani isu kalimah "Allah" bagi menjaga keharmonian dan kestabilan masyarakat majmuk di Malaysia.

Downloads

Published

2025-03-19